KISAH PERPISAHAN ROH DAN JASAD
Dalam sebuah hadith daripada Aisyah r.a katanya, "Aku sedang duduk
bersila di dalam rumah. Tiba-tiba Rasulullah s.a.w. datang dan masuk
sambil memberi salam kepadaku. Aku segera bangun kerana menghormati dan
memuliakannya sebagaimana kebiasaanku di waktu baginda masuk ke dalam
rumah. Rasulullah s.a.w. bersabda, "Duduklah di tempat duduk, tidak
usahlah berdiri, wahai Ummul Mukminin." Maka Rasulullah s.a.w. duduk
sambil meletakkan kepalanya di pangkuanku, lalu baginda berbaring dan
tertidur.
Maka aku hilangkan uban pada janggutnya, dan aku dapat 19 rambut yang
sudah putih. Maka terfikirlah dalam hatiku dan aku berkata,
"Sesungguhnya baginda akan meninggalkan dunia ini sebelum aku sehingga
tetaplah satu umat yang ditinggalkan olehnya nabinya." Maka aku menangis
sehingga mengalir air mataku jatuh menitis pada wajah baginda. Baginda
s.a.w. terbangun dari tidurnya seraya bertanya, "Apakah sebabnya
sehingga engkau menangis wahai Ummul Mukminin?" Masa aku ceritakan kisah
tadi kepadanya, lalu Rasulullah s.a.w. bertanya, "Keadaan bagaimanakah
yang hebat bagi mayat?" Kataku, "Tunjukkan wahai Rasulullah!"
Rasulullah s.a.w. berkata, "Engkaulah katakan!," Jawab Aisyah r.a :
"Tidak ada keadaan lebih hebat bagi mayat ketika keluarnya mayat dari
rumahnya di mana anak-anaknya sama-sama bersedih hati di belakangnya.
Mereka sama-sama berkata, "Aduhai ayah, aduhai ibu! Ayahnya pula
mengatakan: "Aduhai anak!" Rasulullah s.a.w. bertanya lagi: "Itu juga
termasuk hebat. Maka, manakah lagi yang lebih hebat daripada itu?" Jawab
Aisyah r.a : "Tidak ada hal yang lebih hebat daripada mayat ketika ia
diletakkan ke dalam liang lahad dan ditimbuni tanah ke atasnya. Kaum
kerabat semuanya kembali. Begitu pula dengan anak-anak dan para
kekasihnya semuanya kembali, mereka menyerahkan kepada Allah berserta
dengan segala amal perbuatannya." Rasulullah s.a.w. bertanya lagi,
"Adakah lagi yang lebih hebat daripada itu?" Jawab Aisyah, "Hanya Allah
dan Rasul-Nya sahaja yang lebih tahu."
Maka bersabda Rasulullah s.a.w.: "Wahai Aisyah, sesungguhnya
sehebat-hebat keadaan mayat ialah ketika orang yang memandikan masuk ke
rumahnya untuk memandikannya. Maka keluarlah cincin di masa remaja dari
jari-jarinya dan ia melepaskan pakaian pengantin dari badannya. Bagi
para pemimpin dan fuqaha, sama melepaskan serban dari kepalanya untuk
dimandikan."Di kala itu rohnya memanggil, ketika ia melihat mayat dalam
keadaan telanjang dengan suara yang seluruh makhluk mendengar kecuali
jin dan manusia yang tidak mendengar. Maka berkata roh, "Wahai orang
yang memandikan, aku minta kepadamu kerana Allah, lepaskanlah pakaianku
dengan perlahan-lahan sebab di saat ini aku berehat dari kesakitan
sakaratul maut." Dan apabila air disiram maka akan berkata mayat, "Wahai
orang yang memandikan akan roh Allah, janganlah engkau menyiram air
dalam keadaan yang panas dan janganlah pula dalam keadaan sejuk kerana
tubuhku terbakar dari sebab lepasnya roh," Dan jika mereka memandikan,
maka berkata roh: "Demi Allah, wahai orang yang memandikan, janganlah
engkau gosok tubuhku dengan kuat sebab tubuhku luka-luka dengan
keluarnya roh."
Apabila telah selesai dari dimandikan dan diletakkan pada kafan serta
tempat kedua telapaknya sudah diikat, maka mayat memanggil, "Wahai orang
yang memandikanku, janganlah engkau kuat-kuatkan dalam mengafani
kepalaku sehingga aku dapat melihat wajah anak-anakku dan kaum
keluargaku sebab ini adalah penglihatan terakhirku pada mereka. Adapun
pada hari ini aku dipisahkan dari mereka dan aku tidakakan dapat
berjumpa lagi sehingga hari kiamat." Apabila mayat dikeluarkan dari
rumah, maka mayat akan menyeru, "Demi Allah, wahai jemaahku, aku telah
meninggalkan isteriku menjadi janda, maka janganlah kamu menyakitinya.
Anak-anakku telah menjadi yatim, janganlah menyakiti mereka.
Sesungguhnya pada hari ini aku akan dikeluarkan dari rumahku dan
meninggalkan segala yang kucintai dan aku tidak lagi akan kembali untuk
selama-lamanya."
Apabila mayat diletakkan ke dalam keranda, maka berkata lagi mayat,
"Demi Allah, wahai jemaahku, janganlah kamu percepatkan aku sehingga aku
mendengar suara ahliku, anak-anakku dan kaum keluargaku. Sesungguhnya
hari ini ialah hari perpisahanku dengan mereka sehingga hari kiamat."
Sumber Muslim Power